Kit Siang pejuang sebenar – Aziz Bari



SHAH ALAM: Bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan bersara daripada politik selepas 56 tahun berada dalam parti, malah menjadi sebahagian daripada pengasas parti itu pada 1966.

Beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Iskandar Puteri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan juga tidak bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam Kongres Ke-17 parti itu yang berlangsung semalam.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan daripada politik. Saya menarik diri dari bertanding pilihan CEC hari ini (semalam). Sila padamkan nombor 39 daripada senarai calon anda. Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya parlimen atau negeri di masa hadapan,” katanya ketika berucap dalam kongres tersebut.

Dalam pada itu, beliau menggesa pimpinan baharu parti membina semula keyakinan rakyat terhadap parti dan mencetus semula harapan serta keyakinan terhadap masa depannya.


“Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun. Dua hari lepas adalah ulang tahun ke-56 parti kita dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum tahun 1969.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berlangsung adalah satu peringatan yang penting bahawa Impian Malaysia kita yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa satu perjuangan politik jangka panjang,” ujarnya.

Sementara itu, pengumuman dibuat bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak mempertahan jawatannya adalah selaras dengan perlembagaan parti yang mengehadkan tempoh penggal penyandangnya.

Pakar perlembagaan yang juga Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu adalah proses biasa dalam pertubuhan politik dan memberi ruang kepada pimpinan lain yang lebih layak untuk meneraju parti.

“Itu menggambarkan kesungguhan dan serius untuk berikan peluang kepada orang lain, bukan sahaja peluang kepada orang Muda tetapi kepada mereka yang berkelayakan.


“Perkara ini adalah biasa dan prosesnya sudah diubah, maknanya kita tidak boleh menyekat ataupun mengganggu proses biasa pertukaran pimpinan dan caranya dengan membuat pindaan kepada undang-undang tubuh parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan bapa Guan Eng, Kit Siang sebagai seorang negarawan dan pejuang sebenar selepas mengumumkan bersara daripada politik dan tidak lagi mahu bertanding di peringkat parlimen atau negeri.

“Memang mengejutkan, tetapi maksudnya dari segi iklim politik, sudah ramai orang cakap patut berundur. Tetapi, pada saya benda itu tidak ada kaitan dengan pertamanya dia tak pernah ada jawatan dalam kerajaan, maknanya kehendak dia hendak serah pati kepada orang muda.

“Ramai patut ambil iktibar, sebab beliau satu-satunya sosok yang bersedia untuk tidak ada jawatan dalam kerajaan, parti mana dalam Malaysia yang ada macam itu. Secara logiknya, beliau patut ambil dan semua orang ambil kecuali yang kalah sahaja. Tetapi partinya menang dan beliau tiada jawatan,” ujarnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram