Pemimpin Umno menolak cadangan supaya Lim Kit Siang diberi penghargaan oleh kerajaan susulan pengumuman veteran DAP itu untuk bersara daripada politik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan daripada Lim selain mendakwa tokoh DAP itu sebagai "rasis" dan sering kali mencabar perlembagaan negara.
"Tidak ada apa yang perlu diberi penghormatan kepada Lim Kit Siang, seorang yang penuh sejarah rasis dan merosakan perlembagaan negara.
"Negara menyaksikan perpecahan, pergeseran antara kaum hingga mencetuskan suasana panas hanya disebabkan dia.
"Perjuangan rasis yang dibawa beliau banyak merosakkan hubungan antara kaum, hak orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan pun cuba dicabar. Bagi saya keputusannya untuk bersara amat dialu-alukan," katanya kepada Malaysiakini.
Razlan bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut dakwaan yang mengatakan Lim sebagai rasis dan menjadi punca kepada perpecahan kaum itu.
Lim pada kongres DAP yang berakhir minggu lalu, mengumumkan keputusannya untuk bersara daripada dunia politik.
Tokoh DAP yang berusia 81 tahun itu menghabiskan lebih daripada separuh abad masanya bergelumang dalam politik.
Keputusan itu mendapat perhatian Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, yang membuat gesaan agar kerajaan memberikan penghargaan kepada veteran DAP berkenaan.
Saranan Rais itu mendapat sokongan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.
Selain itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Presiden Putra Ibrahim Ali turut menyokong agar penghargaan diberikan kepada Lim.
Untuk rekod, Umno dan DAP merupakan seteru politik sejak sekian lama.
Umno mendakwa DAP sebagai sebuah parti perkauman Cina yang sering mempertikaikan hak keistimewaan Melayu melalui agendanya untuk mewujudkan Malaysian Malaysia.
Manakala DAP pula mendakwa Umno menggunakan isu perkauman sempit untuk survival parti itu dan demi kepentingan segelitir elit Melayu yang korup.
"Idea gila'
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub pula menyifatkan saranan untuk memberi penghargaan kepada Lim sebagai "idea gila".
"Satu cadangan kurang siuman dan tidak masuk akal. Apakah orang yang bertanggungjawab dengan kekacauan 13 Mei wajar diberi penghormatan dan diingati sebagai ikonik?
"Rais sendiri tahu apa puncanya 13 Mei. Siapa pencetusnya, janganlah kerana Rais mengenali Lim selama 46 tahun dan DAP pernah berada dalam kerajaan maka Rais lupa kesengsaraan negara di bawah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
"Amat malang sekali cadangan ini datang daripada seorang Melayu seperti Rais yang lupa sejarah dan buta mata hati untuk menilai batu atau intan," katanya.
Sebelum ini, Umno sering menyalahkan DAP sebagai punca terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, selepas parti Perikatan mengalami kekalahan teruk pada tahun yang sama.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman berkata Lim hanya perlu dihormati kerana memeriahkan demokrasi negara dan tidak lebih daripada itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel