Pas tidak takut kalah pilihan raya



ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak takut tewas dalam pilihan raya demi meneruskan kelangsungan perjuangan demi menegak dan memperkukuhkan Islam.

Beliau berkata, sejarah membuktikan parti itu masih kekal memperjuangkan asas yang sama meskipun pemimpinnya bersilih ganti.

Katanya, Pas bukanlah sebuah parti yang kaya-raya namun telah berjaya mengharungi pelbagai ujian dalam mempertahankan dasar perjuangannya sejak dari dulu.

“Sebelum ini ada parti yang mati apabila pemimpin meninggal dunia dan ada pula parti yang turut lemah setelah pemimpinnya lemah. Tetapi Pas tidak begitu kerana kalau ada pemimpin lemah, akan ada pula individu lain yang mengambil alih dan meneruskan perjuangan.


“Kita tak apa (kalah) sebab dah biasa kalah tetapi ‘dia’ yang selalu menang, apabila kalah sekali dah lembik lutut. Kita tak takut kalah dan akan langsungkan perjuangan hingga ke akhir hayat sambil meletakkan harapan kepada Allah, dengan menjunjung Islam di depan, bagi ditegakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah di Simpang Empat dekat sini malam semalam.

Hadir sama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, keadaan itu merupakan satu bentuk kekuatan yang ada pada Pas namun dalam masa sama, turut menjadikan Pas sebagai parti yang memiliki paling ramai musuh.

“Sebab itu, penting buat kita untuk beristiqamah dan tidak berganjak terhadap soal prinsip serta dasar.


“Taktik dan strategi boleh berubah namun dasar serta matlamat tidak boleh diubah dengan kita perlu sentiasa istiqamah,” katanya.

Selain itu beliau turut menasihatkan kalangan ahli dan penyokong Pas agar tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan golongan yang disifatkan sebagai ‘tidak mengerti’.

“Golongan ‘tidak mengerti’ ini pertamanya nak cepat menang. Kalau boleh hari ini berjuang, esok nak menang atau dua, tiga minggu lagi, sudah nak menang.

“Keduanya mereka yang berputus asa kononnya ‘Islam’ tak boleh menang. Ini dua jenis manusia yang tidak mengerti dan tak tahu kekuasaan Allah,” katanya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram