Polis panggil Shahrol Shiro



KLUANG: Polis memanggil penganjur dan pemilik premis sebuah tempat makan susulan insiden pengunjung tidak melaksanakan penjarakan fizikal dalam satu majlis di Kampung Masjid Lama, di sini, kira-kira jam 9 malam, 5 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata aktiviti terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


"Polis mengesan sebuah video tular acara santai parti politik bersama masyarakat yang melanggar SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada jam 3.45 petang ini.

"Rakaman berdurasi 15 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook 'Malaysia Negara Ku' dan jelas memaparkan satu majlis membabitkan sebuah parti politik sedang berkumpul.

"Hasil pemantauan video jelas menunjukkan majlis tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Pihak berkenaan telah dikenal pasti dan dihubungi untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi siasatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Hang Seng berkata, siasatan dijalankan bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Polis meminta semua parti politik dan penyokong untuk mematuhi SOP PPN Fasa Empat dalam menangani wabak COVID-19 ketika mengadakan pelbagai program," katanya.

Video yang dimuat naik itu memaparkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama pelawak Shahrol Shiro beramah mesra dengan pengunjung dalam majlis santai anjuran Barisan Nasional (BN) sempena kempen PRN Johor. – Bharian

 

Join our Telegram Channel
Telegram