Tiada lagi Ketua Menteri Sarawak bermula hari ini



Ketua Menteri Sarawak digelar “Premier of Sarawak” dalam bahasa Inggeris dan “Premier Sarawak” dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa hari ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.

Beliau berkata penguatkuasaan penggunaan istilah itu berikutan pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak, yang Rang Undang-undang (RUU) tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Feb.

“Pindaan ini berkuat kuasa mulai hari ini, 1 Mac 2022. Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Office of the Premier of Sarawak’ manakala dalam Bahasa Malaysia sebagai 'Pejabat Premier Sarawak’," katanya dalam kenyataan di Kuching.


Beliau berkata Timbalan Ketua Menteri Sarawak akan dirujuk sebagai ‘Deputy Premier’ atau Timbalan Premier dalam Bahasa Malaysia manakala Menteri Muda kini akan dirujuk sebagai Timbalan Menteri, juga berkuat kuasa hari ini.

Pindaan untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier itu telah diluluskan oleh DUN dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan mengundi menyokong manakala enam menentang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa membentangkan RUU itu berkata pindaan di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak itu adalah mengikut pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dikuatkuasakan pada 11 Feb. – Bernama

 

Join our Telegram Channel
Telegram