Zuraida khianat Bersatu secara halus, kata Ahli MPT



Kegagalan Zuraida Kamaruddin membantu Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini mendorong seorang pemimpin Bersatu menggesa menteri terbabit disingkirkan dari parti.

Menurut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata sepanjang tempoh berkempen bekas naib presiden PKR terbabit tidak dilihat membantu parti barunya itu.

“(Saya) beranggapan satu tindakan serius terhadap Zuraida perlu diambil,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Zuraida merupakan salah seorang ahli parlimen PKR yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Feb 2020 apabila menyertai beberapa pemimpin lain meninggalkan gabungan tersebut.


Dia serta ahli parlimen lain dari PKR yang berpaling tadah kemudian menyertai Bersatu.

Bagaimanapun Zuraida yang juga bekas ketua Wanita PKR dikaitkan dengan sebuah Parti Bangsa Malaysia yang diasaskan sekumpulan ahli politik yang juga bekas pemimpin PKR.

Bekas setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad, juga menyertai parti berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan nama Zuraida disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp anggota MPT Bersatu.

Selepas PH dijatuhkan, Zuraida dilantik Muhyiddin untuk terus kekal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ditukarkan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi apabila Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri.

Kata Faiz langkah Zuraida yang dianggap tidak mempedulikan hal Bersatu serta "mengkhianati" parti terbabit perlu dipandang serius.


“Saya berharap pemimpin Bersatu tak memandang ringan hal ini.

"Secara halus, hakikatnya watak ini (Zuraida) tidak bersama dengan perjuangan Bersatu lagi kerana telah mengkhianati parti walaupun tidak dinyatakan secara terang.

“PRN Johor pun dia tidak turun, dia pergi berkempen pun tak ada. Ini bermakna dia bukan bersama PN. Itu sangat ke­tara.

"Zuraida memang tak membantu melainkan kalau dia turun pun atas kuasa dia mewakili kementerian. Kalau parti, memang tidak ada kena-mengena," katanya lagi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram