Elon Musk mahu beli Twitter RM182.06 bilion



BANDAR RAYA NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX, Elon Musk menawarkan untuk membeli Twitter selepas menjadi pemegang saham terbesar syarikat media sosial itu lewat bulan lalu, lapor akhbar Daily Star.

Menerusi surat yang diperoleh Suruhanjaya Keselamatan dan Pertukaran Amerika Syarikat (AS), Musk membuat ‘tawaran terbaik dan terakhir’ untuk membeli Twitter sepenuhnya.


Individu terkaya di dunia itu menawarkan untuk membayar AS$54.20 (RM229.48) sesaham secara tunai dengan jumlah keseluruhan sekitar AS$43 billion (RM182.06 bilion). 

Jumlah itu hanya sebahagian kecil daripada wangnya kerana nilai kekayaannya kini mencecah AS$260 bilion (RM1.1 trilion).

Musk berkata, jika tawaran beliau ditolak, dia perlu menjual semua sahamnya dalam Twitter. 

“Jika urusniaga ini gagal kerana saya tidak mempunyai keyakinan dalam pengurusan dan tidak yakin boleh memacu perubahan, saya perlu mempertimbangkan semula kedudukan sebagai pemegang saham (dalam Twitter),’’ lapor wartawan Bloomberg, Sonali Basak setelah mendapat komen daripada Musk.


Musk yang merupakan salah seorang pengguna Twitter dengan pengikut paling ramai itu baru-baru ini membeli 9.2 peratus saham gergasi media sosial itu sekali gus menjadikannya pemegang saham terbesar syarikat itu.

Bagaimanapun, selepas membuat beberapa cadangan kontroversi mengenai perubahan kepada syarikat termasuk menambah butang ‘edit’ pada siaran dan menjadikan ibu pejabat media sosial itu sebagai tempat perlindungan gelandangan, Musk mengumumkan dia tidak akan mengambil tempat yang ditawarkan dalam lembaga pengarah Twitter.

Tidak jelas sama ada tawaran Musk telah diterima tetapi jika berjaya, ia akan mewakili salah satu pembelian terbesar syarikat media sosial  dalam sejarah. – Agensi



Join our Telegram Channel
Telegram