MARANG: Pas memilih mengunci mulut ketika ditanya adakah parti itu menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang keputusan mengenainya hanya akan dimuktamadkan selepas pilihan raya selesai.
“Yang menentukan adalah rakyat, jadi kita serahkan kepada mereka. Janganlah kita pandai-pandai,” katanya ketika ditanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Awal bulan ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan didatangi Muhyiddin bagi meminta sokongan untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan tidak akan menyokong permintaan tersebut, namun belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama bagi menghadapi PRU15.
Sementara itu, Abdul Hadi menasihatkan parti politik di negara ini agar tidak gopoh menamakan calon Perdana Menteri masing-masing, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan pemimpin mahu pun parti pilihan mereka.
Katanya, mengambil iktibar peristiwa di Johor, calon Menteri Besar yang diputuskan Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh bertukar selepas parti itu menang besar.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel