Harta guru rogol 13 pelajar disita bayar ganti rugi kepada mangsa



BANDUNG: Hukuman penjara seumur hidup terhadap guru agama yang disabit kesalahan kerana merogol 13 pelajarnya sehingga lapan daripada mereka hamil dan melahirkan anak kini ditukar kepada hukuman mati.

Lapor Tribunnews, keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Bandung selepas pendakwa raya membuat rayuan berhubung hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Daerah Bandung sebelum ini.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Herry Wirawan membayar ganti rugi kepada semua mangsa rogolnya bernilai 331 juta rupiah (RM97,412).


Hakim memutuskan, ganti rugi itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Herry.

Menerusi penjelasan hakim, terdapat empat elemen utama dalam ganti rugi tersebut iaitu diberikan kepada mangsa atau keluarga, ganti rugi material atau bukan yang terpaksa ditanggung mangsa atau keluarga mereka, tertuduh perlu menanggung kos kerugian atau pihak ketiga dan keputusannya berdasarkan undang-undang tetap.

“Pembayaran ganti rugi kepada negeri (pihak ketiga) hanya akan menjadi contoh buruk dalam mengatasi jenayah seksual terhadap kanak-kanak kerana penjenayah akan berasa selesa kerana tidak terbeban, sekali gus jenayah sama terus berulang.

“Sehubungan itu, semua harta tertuduh termasuk tanah dan bangunan dalam Yayasan Yatim Piatu Manarul Huda akan disita dan digunakan untuk membayar ganti rugi kepada semua mangsa dan keluarga mereka,” kata Ketua Majlis Hakim Mahkamah Tinggi Bandung, Herry Swantoro.


Dalam pada itu, para keluarga mangsa menzahirkan rasa lega dengan keputusan mahkamah yang disifatkan sudah membela nasib dan masa depan anak-anak mereka.

“Semoga hukuman mati ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan jenayah seksual.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memperjuangkan nasib anak-anak kami. Hanya Allah SWT yang boleh membalas jasa anda,” ujar seorang daripada ahli keluarga mangsa.




Join our Telegram Channel
Telegram