Lelaki juling gelap ramas punggung wanita dicari



PETALING JAYA: Seorang lelaki diburu bagi membantu siasatan kes cabul di Tamarind Square, Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pengadu, seorang wanita berusia 27 tahun turun dari tingkat tiga ke tingkat 1 di tempat kejadian dengan tiga individu lain di dalam sebuah lif.


“Sampai di tingkat 1, pengadu terus ke tempat parkir kereta untuk menyimpan barang dan didatangi seorang lelaki untuk membantu pengadu menyimpan barang kerana beliau mahu troli yang ada pada pengadu.

“Pengadu menolak untuk dibantu namun suspek tetap mengambil barang pengadu dan memasukkan ke dalam kereta dan secara tiba-tiba lelaki tersebut menyentuh dan meramas punggung pengadu dengan kasar kemudian melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul berkata, pengadu memaklumkan suspek berkenaan berpakaian serba hitam dan memakai beg silang berwarna hitam ketika kejadian.


“Rambut dan kulit (suspek) berwarna gelap, pengadu hanya nampak lelaki itu matanya juling,” katanya.

“Pengadu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki ini sebelum ini. Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.”

Terdahulu, seorang pengguna media sosial memaklumkan terdapat dua kes cabul berlaku di Tamarind Square semalam oleh suspek yang sama. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram