Lelaki juling ramas punggung wanita berjaya ditahan



Polis hari ini menahan seorang suspek yang dipercayai melakukan beberapa serangan seksual di pusat perniagaan Tamarind Square, Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek ditangkap oleh pasukan yang ditugaskan memburu pelaku kes itu, tengah hari ini.

“Saya baru dimaklumkan suspek sudah berjaya ditangkap, dia kini dalam tahanan polis,” katanya kepada media dalam kumpulan WhatsApp.


Perincian penangkapan dan suspek masih belum dimaklumkan namun Kamarul Azran membayangkan dia akan membuat sidang media berhubung kes itu.

Terdahulu hari ini, dia memaklumkan bahawa polis telah mula memburu lelaki yang disyaki mencabul beberapa perempuan di pusat perniagaan itu semalam.

Menurut laporan polis daripada mangsa, dua insiden cabul berasingan berlaku dalam tempoh 15 minit.

Dalam insiden pertama, kira-kira pada jam dua petang, pelaku dilaporkan berpakaian gelap telah meraba seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun ketika dia sedang meletakkan barangnya di dalam kereta, di tempat letak kereta tingkat tiga.

Insiden kedua dilaporkan berlaku pada jam 2.15 petang melibatkan perempuan berusia 34 tahun. Mangsa sedang menunggu lif di TIngkat 2 Blok A Tamarind Square, ketika suspek memeluknya dari belakang dan mencabulnya.


Kamarul Azran berkata polis telah mendapatkan rakaman CCTV daripada premis itu dan mereka yakin dua insiden itu dilakukan oleh orang yang sama.

Polis juga mengesyaki lelaki itu merupakan pelaku serangan serupa di tempat itu pada Disember tahun lalu.

Pihak berkuasa dijangka melaksanakan proses mengesan suspek dan akan memanggil semua mangsa yang terlibat. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram