Masa ke tandas ada orang isi sesuatu dalam minuman, saya tak hisap dadah – Adun DAP



IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa beliau tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang.

Sehubungan itu, ADUN DAP itu terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencingnya positif, kerana mendakwa merokok pun tidak.

Terence berkata, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggannya, untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina di lokasi di mana dia kemudiannya ditahan di Perai, Pulau Pinang.

Beliau mendakwa dihidangkan minuman yang ‘aneh’ dan tidak meminumnya selepas merasa sedikit.


“Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan pada Jumaat, beliau telah membuat laporan polis menyatakan bahawa dia terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

Katanya, saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dilihatnya.

Berikutan itu, ujarnya, beliau telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramarannya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

“Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.

“Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah,” tambahnya.


Terence berkata, setelah lama terlibat dalam dunia politik dan setelah dua penggal sebagai ADUN, beliau amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat, yang salah satunya untuk mematuhi undang-undang.

“Tiada apa yang berubah dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” katanya lagi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti di atas sokongan dan kepercayaan terhadapnya, Terence berkata, beliau akan memberi penjelasan seperti yang diminta DAP Perak.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang ADUN dari Perak ditahan di sebuah kelab malam di Pulau Pinang kerana didapati positif dadah. – Awani

 

Join our Telegram Channel
Telegram