Najib takut berdebat, heret Anwar sebagai syarat, kata Rafizi



KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk berdebat dengannya selepas menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai syarat.

Rafizi yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR berkata, beliau akan menyampaikan syarat yang dikemukan Najib itu kepada Anwar.

“@NajibRazak sebenarnya takut nak berdebat. Jadi dia cari alasan bagi syarat mintak heret @anwaribrahim sekali, sebab dia ingat presiden PKR pun takut berdebat dengan dia.

“Insya-Allah saya sampaikan kepada @anwaribrahim dan kita sama-sama tengok alasan dan syarat baru apa pulak Najib nak bagi,” katanya.


Najib dalam media sosialnya hari ini menyahut menyahut cabaran debat bekas Ahli Parlimen Pandan itu tetapi sesi perdebatan itu perlu disertai Anwar.

“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil bos kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia.

“Dua lawan satu, tiada masalah.

“Ini seperti kes Azmin cabar debat dengan saya berhubung Felda pada Pilihan Raya Negeri Johor dan saya bersetuju dengan syarat Muhyiddin yang debat dengan saya. Azmin boleh debat bersama atau bantu Muhyiddin,” kata Najib menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Rafizi bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Najib.


Beliau setuju untuk berdebat dengan bekas perdana menteri itu jika ada mana-mana pihak hendak menjemputnya.

“Masuk mahkamah pun dia tak tahu semua, jadi sebaiknya kalau Najib betul-betul yakin beliau tidak bersalah dan yakin pimpinan terbaik untuk negara ini jadi siapalah saya tanpa jawatan politik dan sepatutnya dia sudi berdebat sahaja,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat.

Rafizi berkata demikian mengulas sama ada beliau sedia untuk berdebat dengan Najib selepas ‘perang’ kedua-dua mereka di media sosial sebelum ini.

Rafizi berharap agar Najib sudi untuk berdebat denganya merungkai isu-isu ketika pentadbiran dan selepas pentadbiran Najib. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram