Pejuang boleh ketuai perjuangan lawan rasuah, kata Dr M



PETALING JAYA: Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya boleh menjadi peneraju berpotensi dalam gabungan parti berbilang kaum yang berpegang kepada prinsip anti-rasuah.

Bekas perdana menteri itu, yang berjaya mengetuai Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya pada 2018, berkata Pejuang akan bergantung kepada sikap tidak suka rasuah pengundi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, kemenangan PH dalam PRU 2018 adalah hasil sokongan pengundi terhadap perjuangan pembangkang menentang rasuah.


Beliau berkata, Pejuang mungkin tidak dapat memenangi kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu selepas PRU15, tetapi ada keperluan untuk membentuk gabungan dengan rakan kongsi yang tidak terbabit dengan rasuah.

“Ingatlah, Umno sendiri tidak dapat menubuhkan kerajaan.

“Walaupun Umno juga parti Melayu, ia menerima hakikat perlu bekerjasama dengan parti bukan Melayu. Pejuang juga akan menjadi peneraju dalam gabungan parti berbilang kaum yang berpegang kepada prinsip anti-rasuah serta sedar perbezaan antara rakyat dan kerajaan perlu diperbetulkan dengan cara adil dan saksama.”

Beliau menjangkakan lebih ramai pengundi akan menentang rasuah di peti undi ketika PRU15 kerana mereka “jijik” dengan dua kerajaan yang merampas kuasa daripada PH melalui cara tidak demokratik.


Pejuang, yang diasaskan Mahathir pada Ogos 2020, memperjuangkan dirinya sebagai parti yang menentang rasuah.

Namun, ia gagal memberikan impak dalam satu-satunya pilihan raya yang ditandinginya setakat ini.

Semua 42 calon Pejuang dalam pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu hilang deposit mereka, selepas gagal meraih sekurang-kurangnya 1/8 (12.5%) undi. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram