UiTM rehatkan pensyarah kecam pelajar, golongan B40



Universiti Teknologi Mara (UiTM) merehatkan seorang pensyarahnya yang baru-baru ini tular mengherdik seorang pelajar ketika sesi pembelajaran dalam talian.

Menurut institusi pengajian tinggi terbabit keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat lembaga pengarah mereka hari ini.

“UiTM menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada 31 Mac 2022 telah berkeputusan untuk merehatkan Profesor Dr Roshana Takim daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UiTM.

“Keputusan ini dibuat adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Komunikasi UiTM hari ini.


Pada masa sama, UiTM turut memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang boleh menjejaskan imej universiti berkenaan.

Kata UiTM mereka memandang serius sesiapa saja yang menyebarkan maklumat sulit institusi itu sama ada secara sengaja atau tidak kerana ia bukan saja boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti malah menggugat keselamatan warganya.

“UiTM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,” katanya lagi.

Kenyataan itu hadir selepas satu video tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba.

Pelajar berkenaan dikatakan mengikuti kelas tersebut menggunakan telefon bimbit saja.

Pensyarah berkenaan turut meminta pelajar terbabit meminta kakaknya menggadai emas bagi membeli komputer riba.

Dia kemudian mengeluarkan kata-kata berbaur hinaan yang memperlekehkan golongan berpendapatan rendah (B40).


Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian tersebut, turut tersebar.

Video tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati oleh ramai pihak dan mendapat perhatian oleh Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, yang meminta supaya pihak universiti memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.

“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

“Penilaian dan pemantauan terhadap profesionalisme pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” menurut kenyataan itu lagi. – Mkini





Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram