Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah kontrak yang tular memperlekehkan pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba dipercayai berlaku ketika sesi kelas atas talian.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya kini dalam penelitian termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah berkenaan.
"Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).
"Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam.
"Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu, kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program One to One Tree dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Hijau Malaysia dan UiTM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roziah berkata, wanita berkenaan adalah pensyarah yang bagus dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya memarahi pelajar berkenaan.
"Tindakan akan diambil tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil.
"Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya," katanya.
Beliau berkata, UiTM juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat yang memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel