Semakin berani, warga asing ludah penguat kuasa DBKL



KUALA LUMPUR – Tindakan dua warga asing melakukan provokasi terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengundang padah apabila ditahan polis di Pusat Bandar Utara di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota penguat kuasa DBKL melakukan rondaan di sekitar kaki lima berhampiran sebuah bank.


“Siasatan awal mendapati dua individu terbabit berniaga di kawasan larangan menyebabkan penguat kuasa menyita barangan mereka.

“Kedua-dua suspek kemudian enggan bekerjasama dan bertindak menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telefon bimbit jatuh dan rosak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek juga memaki dan meludah ke arah muka salah seorang penguat kuasa sebelum mengoyakkan baju sendiri dan menuduh perbuatan tersebut dilakukan anggota penguat kuasa bagi mengelak ditangkap.

Susulan itu, polis bertindak menahan seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 34 dan 38 tahun yang terlibat dalam insiden terbabit di tempat kejadian.


“Kedua-dua suspek ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan keduanya direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bermula hari ini hingga 22 April bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Kosmo



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram