Zuraida umum keluar Bersatu



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai PBM. Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.


“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Tun Dr. Mahathir Mohamad, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin serta YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia turut menjelaskan yang beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai menteri.


“Insya-Allah saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan YAB Perdana Menteri, ” jelasnya lagi. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram