Bersatu Kangar lumpuh, AJK, ketua cawangan dan 1,000 ahli keluar parti



KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar didakwa lumpuh selepas hampir kesemua ahli jawatan kuasa serta ketua-ketua di lapan cawangan di sini meletak jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Lebih parah, hampir 1,000 ahli di bahagian berkenaan dikatakan turut mengikut jejak langkah sama selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah.

Ekoran tindakan keluar parti beramai-ramai itu, difahamkan kepimpinan bahagian tersebut kini hanya tinggal Abu Bakar dan beberapa ahli jawatankuasa sahaja.


Selain Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Shaharani Husin, peletakan jawatan itu turut melibatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan pemangku Ketua Srikandi selepas mereka mencapai kata sepakat kecewa dengan kepimpinan Abu Bakar. 

Shaharani berkata, kepimpinan bahagian dan negeri dilihat sudah lari daripada perjuangan asal parti selain bersifat berat sebelah dengan meminggirkan kebanyakan ahli jawatankuasa yang menang dalam pemilihan parti itu sebelum ini.

Ujar beliau, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Bersatu pusat sebaliknya keputusan tersebut diambil disebabkan kecewa dengan Abu Bakar.

“Pada masa ini, kami belum membuat sebarang ketetapan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Dengan tindakan keluar parti dan meletak jawatan secara beramai-ramai itu secara tidak langsung menyebabkan Bersatu Bahagian Kangar lumpuh selain turut memberi kesan kepada kepimpinan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan krisis kepimpinan Bersatu di bahagian itu semakin parah apabila lebih 800 penyokong parti itu di Kuala Perlis keluar parti.

Mengikut jejak langkah sama pada masa itu, Naib Ketua Bersatu Bahagian Arau, Mejar (B) Sharif Abdul Razak yang turut mengumumkan peletakan jawatannya.

Sementara itu, Shaharani berkata, keputusan mereka keluar parti itu secara tidak langsung turut memberi kesan kepada Bersatu negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Lantikan yang dilakukan Abu Bakar dalam senarai ahli jawatankuasa bahagian dilihat seperti meminggirkan kami yang menang dalam pemilihan sebelum ini,” katanya. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram