Joe Biden jatuh basikal



WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengalami kemalangan kecil apabila beliau terjatuh dari basikal ketika beriadah di rumah pantainya di negeri Delaware, pagi semalam.

Sebuah klip video yang dikongsikan White House menunjukkan pemimpin berusia 79 tahun itu dengan pantas bangun selepas terjatuh sambil berkata: “Saya baik-baik sahaja.”


Ketika kejadian, Biden sedang menunggang basikal bersama Wanita Pertama, Jill Biden di sebuah taman berhampiran kediaman mereka di Pantai Rehoboth.

Beliau berhenti seketika untuk berbual bersama orang awam dan sekumpulan wartawan sebelum hilang keseimbangan badan semasa mengalihkan kakinya dari pengayuh basikal.

“Seperti yang dikatakan oleh Presiden, kakinya tersangkut pada pengayuh dan beliau dalam keadaan baik sahaja.

“Tiada sebarang bantuan perubatan diperlukan. Beliau tidak sabar untuk menghabiskan waktu sepanjang hari bersama keluarganya,” demikian menurut kenyataan White House.


Beberapa video yang dikongsikan di media sosial memaparkan Biden cuba menunjukkan bahawa beliau dalam keadaan baik.

Ketika ditanya oleh wartawan dan orang awam sama ada beliau mengalami sebarang kecederaan, Biden membuat tiga kali lompatan dan menggenggam kesemua jarinya sebagai menunjukkan isyarat kuat. – AFP 



Please subscribe









Join our Telegram Channel
Telegram