PAS tolak khemah besar Muhyiddin – Hadi



MARANG: Pas mengesahkan tahu tentang agenda Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama di bawah khemah besar dengan parti-parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu bagaimanapun ditolak oleh Pas dalam pertemuan yang diadakan dengan pemimpin berkenaan, sebelum ini.


“Pas ada dimaklumkan dan tahu mengenai (khemah besar), tetapi kita tidak bersetuju dan memutuskan menolaknya.

“Kita berbincang bersama dan tidak sembunyi-sembunyi, malah Muhyiddin menerima pandangan Pas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik menuntut Muhyiddin bersikap jujur dan berterus-terang kepada Pas berhubung hala tuju kerjasama politik mereka dalam menghadapi PRU15.

Katanya, Pas tidak wajar diheret sama di bawah khemah besar atau kerjasama persefahaman pilihan raya antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pembangkang sekiranya melibatkan hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Tegas beliau, kebanyakan akar umbi Pas tidak boleh langsung menerima kehadiran DAP dan PKR dalam mana-mana kerjasama politik melainkan dengan parti Melayu Islam.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas komited memperjuangkan prinsip perpaduan ummah bagi menyatu-padukan umat Islam di samping golongan bukan Islam yang tidak ekstrem. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram