PM UMNO umum tambang percuma sebulan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL



KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya ketika berucap merasmikan projek MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.


MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 2 juta penduduk di koridor bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran kerajaan.

MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua, yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk pusat bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).

MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7KM itu mempunyai 36 stesen terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dengan kos keseluruhan RM30.53 bilion.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihak MRT kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan.


Katanya, dengan pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya itu, dijangka mencatatkan penumpang harian melebihi 104,000 orang.

“Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pembukaan laluan di kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara diyakini akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram