Suami keluar bekerja, isteri bawa balik lelaki bujang



KULIM: Perbuatan terkutuk seorang isteri membawa pulang lelaki lain ketika suaminya keluar bekerja terbongkar selepas mereka dicekup Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang mendapat maklumat daripada penduduk kampung, di sini hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 1.40 pagi itu, wanita berusia 35 tahun yang sudah mempunyai empat anak ditahan bersama seorang lelaki bujang berusia 32 tahun di sebuah  rumah sewa wanita terbabit.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat berkata, ketika kejadian, suami wanita itu yang berumur 43 tahun dipercayai keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak pukul 9 malam semalam di sebuah kilang tayar, di daerah ini.


Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga kanak-kanak disyaki anak wanita itu dipercayai sedang tidur dan seorang lagi anak sulungnya yang berusia 13 tahun tinggal bersama nenek di kampung.

“Kami menerima maklumat berhubung kejadian itu berdasarkan maklumat awam dan melakukan pemeriksaan di rumah sewa yang diduduki wanita berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, pasangan itu bukan suami isteri atau hubungan mahram malah mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mereka mempunyai hubungan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anwar Shariffudin berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-dua mereka dipercayai berkenalan di sebuah kedai makan di daerah ini, kira-kira enam bulan lalu ketika wanita terbabit bekerja sebagai tukang cuci.


Jelasnya, lelaki yang berasal dari Pendang itu pula bekerja sebagai pemandu jengkaut.

“Berdasarkan maklumat, suami wanita itu pernah menghalau lelaki terbabit serta memberi amaran supaya tidak mengganggu isterinya lagi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan. – Utusan


Join our Telegram Channel
Telegram