Tengku Zafrul sesuai jadi poster boy BN Selangor #PRU15 – Jamal



KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengangkat Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Menteri Kewangan itu yang menepati ciri WALI iaitu winnable, acceptable dan likeable itu dilihat mampu membantu BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

“Tengku Zafrul antara nama pemimpin yang disebut-sebut malah sudah pun turun padang beberapa kali menyantuni rakyat di Kuala Selangor.


“Jika kehadiran anak kelahiran Kuala Selangor itu boleh diterima baik oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, apa salahnya jika Tengku Zafrul dinamakan sebagai poster boy untuk BN di Selangor pada PRU-15?

“Saya yakin dan percaya Tengku Zafrul yang mempunyai latar belakang dari dunia korporat dan perbankan, beliau mampu membela kebajikan rakyat apatah lagi beliau kini seorang menteri Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jamal, kejayaan BN dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor membuktikan calon baharu, segar dan bebas daripada kontroversi menjadi pilihan pengundi.

“Formula sama boleh diguna pakai BN dalam PRU15 dengan mengetengahkan calon muda, baharu dan sesuai dengan kehendak semasa.


“Permintaan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini mula memberi kepercayaan kepada BN yang menawarkan manifesto mampu dilaksanakan iaitu kestabilan politik dalam pentadbiran kerajaan.

“Pelaksanaan pendaftaran secara automatik daftar pemilih berusia 18 tahun yang berkuatkuasa 15 Disember 2021 membuktikan pengundi muda juga memberi sokongan luar biasa hingga memenangkan BN di Johor,” katanya.

Katanya lagi, langkah ini boleh digunakan di negeri-negeri lain terutamanya Selangor dalam usaha BN untuk merampas semula negeri maju itu daripada PH sejak tiga penggal lalu.

“UMNO amat memerlukan lebih ramai pemimpin muda, berkaliber dan diyakini rakyat yang mampu menawarkan perubahan luar biasa di Selangor, lebih-lebih lagi dalam kalangan Menteri Kabinet di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram