TERKINI: Tengku Zafrul kini pasti bertanding di Kuala Selangor



PETALING JAYA: Pemilihan Kuala Selangor sebagai “daerah angkat” oleh Kementerian Kewangan menjadi petanda bahawa Tengku Zafrul Aziz pasti akan bertanding di daerah itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata pengumuman itu adalah petunjuk kuat bahawa menteri kewangan berkenaan menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai penampilan sulungnya dalam pilihanraya.

“Ia adalah petunjuk yang amat jelas. Bukan hanya dirinya, sebagai menteri, memberikan perhatian khas kepada Kuala Selangor tetapi seluruh kementerian sendiri memberi tumpuan kepada daerah itu,” kata Azmi sambil menambah bahawa Tengku Zafrul telah beberapa kali melawat kawasan itu.

Beliau berkata, sebagai calon Umno, Tengku Zafrul akan berjaya di Kuala Selangor kerana ia adalah kawasan majoriti Melayu.


Menteri kewangan itu dikhabarkan sedang mengintai kerusi Parlimen untuk bertanding dan terdapat spekulasi bahawa beliau akan melakukannya di Kuala Selangor atas tiket Umno.

Ketika ini beliau menjadi anggota Jemaah Menteri selepas dilantik sebagai Senator.

Terdapat kekeliruan sama ada Tengku Zafrul adalah ahli Umno, tetapi Setiausaha Agung parti itu, Ahmad Maslan mengesahkan bulan lalu bahawa Tengku Zafrul telah menjadi ahli Umno sebelum beliau menjadi menteri pada 2020.

Bagaimanapun, Azmi berkata apa yang terbaik untuk Tengku Zafrul ialah beliau mengetepikan PRU15 sama sekali.

“Saya rasa ia bukan idea yang baik untuk beliau bertanding kerana beliau dipilih sebagai menteri kewangan memandangkan dirinya adalah teknokrat dan berdasarkan pengalamannya dalam bidang kewangan, bukan kaitan politiknya,” katanya.

Tengku Zafrul adalah ketua pegawai eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Bhd ketika perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin memilihnya untuk memegang portfolio kewangan. Beliau dilantik sebagai Senator supaya boleh menjadi anggota Jemaah Menteri.


Azmi berkata, di mata umum, Tengku Zafrul telah melaksanakan tugasnya dengan baik apabila mengutamakan kesejahteraan negara dan menekankan statistik dan data.

“Jika beliau bertanding PRU15, maka beliau perlu ‘mengikut ketetapan’ dan terikat dengan ideologi parti, menyukarkan beliau untuk berpegang kepada prinsipnya beliau,” kata Azmi.

Menurutnya, peluang untuk Tengku Zafrul dilantik semula sebagai menteri kewangan adalah “agak tinggi”, tanpa mengira apa jua keputusan PRU.

Kerusi Kuala Selangor kini disandang oleh Dzulkefly Ahmad dari Amanah, yang sebelum ini berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda Amanah.

Bagaimanapun, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen dua penggal, berkata beliau akan mempertimbangkan untuk bersaing sekiranya Umno mencalonkan nama besar seperti Tengku Zafrul. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram