Ambiga bantah Sultan Johor samakan demo Bersih dengan 13 Mei



Tidak wajar menyamakan rusuhan kaum yang meragut banyak nyawa dengan perhimpunan mendesak pilihan raya bebas dan adil, menurut pihak yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagi Ambiga Sreenevasan, perbezaan antara keduanya cukup jelas.

“Merusuh satu kesalahan jenayah. Perhimpunan aman tidak.

“Rakyat Malaysia telah matang dan menghargai hak mereka hanya untuk mengadakan perhimpunan, bantahan dan perkumpulan yang aman,” katanya kepada Malaysiakini.


Ambiga ialah bekas pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih. Siri perhimpunan jalanan besar-besaran menggemparkan elit politik negara dan membawa kepada pelaksanaan beberapa langkah seperti penggunaan dakwat kekal semasa proses pengundian.

Perhimpunan awal Bersih, bagaimanapun, dicemari oleh beberapa insiden keganasan yang didakwa penganjur berpunca daripada tindakan tidak wajar polis.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan perhimpunan jalanan yang dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukan cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Baginda bertitah pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.


“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang.

“Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada 24 Jun lalu.

Sementara itu, Ambiga menyatakan bahawa hak untuk berhimpun secara aman diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dilindungi di Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai hak asasi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram