Sultan Johor tegur DAP ajak rakyat turun demo



Johor Bahru : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah menegaskan perhimpunan jalanan sebagaimana dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP, bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Dalam hantaran terbaru di media sosial baginda bertitah, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

"Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?


"Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.

"Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan," titah baginda

Baginda bertitah, perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19.


"Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara," titah baginda.

Baru-baru ini, anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengeluarkan kenyataan agar rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup, seperti dilaporkan sebuah portal berita dalam talian tempatan. – Hmetro

 


Join our Telegram Channel
Telegram