MANJUNG: Gara-gara tidak memandang muka ketika bersalaman, seorang lelaki
bertindak di luar kawalan apabila menampar belakang kepala seorang jemaah di
Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata
pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada mangsa lelaki berusia
30-an.
Menurutnya, kejadian berlaku di antara mangsa yang juga anggota TLDM, manakala
suspek adalah pesara TLDM di masjid berkenaan selepas selesai solat Asar pada
5.10 petang.
"Selepas selesai solat mangsa bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali
sebelum suspek tiba-tiba menampar belakang kepala mangsa dengan kuat hingga
terkena telinga kanannya.
"Susulan itu mangsa mengalami sakit di belakang kepala dan telinga," katanya
di sini, hari ini.
Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca kerana mangsa
didakwa tidak memandang muka suspek ketika bersalaman.
"Ia menyebabkan suspek yang juga pesara TLDM berusia 46 tahun berang dan
beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD)
Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
"Mangsa dalam kes ini kemudiannya tidak mahu meneruskan siasatan dan sudah
menarik semula laporan polis yang dibuat. Kes ini diklasifikasikan sebagai
tiada tindakan lanjut (NFA).
"Susulan itu, polis menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat
sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan kerana kes itu sudah
selesai," katanya.
Join our Telegram Channel