Lakar sejarah, Mat Kilau kutip RM90 juta selepas 33 hari



KUALA LUMPUR: Selepas 33 hari ditayangkan, fiem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencatat sejarah tersendiri dengan kutipan tertinggi mencecah RM90 juta.

Perkembangan itu dikongsikan pengarahnya, Syamsul Yusof dalam satu hantaran WhatsApp kepada Utusan Malaysia hari ini.


Kata Syamsul, rekod tersebut telah mengangkat filem epik itu menjadi filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia.

“Dengan izin Allah, Mat Kilau raih RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan. Menjadi filem box office dengan kutipan tertinggi di Malaysia selepas Munafik 2 dan Avengers End Game.

“Air mata syukur, tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu,” katanya.

Kongsi Syamsul lagi, lebih membanggakan apabila filem Mat Kilau berjaya menundukkan filem Hollywood dari segi kutipan jualan tiket panggung di negara ini.


“Mengejutkan lagi bila Mat Kilau menjadi filem nombor satu dalam carta ‘box office’ mingguan untuk lima minggu berturut-turut, mengenepikan filem besar Hollywood!

“Terima kasih penonton kerana masih terus beri kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya, sejak yang pertama hinggalah sekarang. Insya-Allah, moga terus diberi ilham utk filem akan datang.

“Telah terbukti beberapa kali, karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baru sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh kita majukan industri seni Malaysia,” ujarnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram