Lelaki ditetak kerana lalu depan koridor



PETALING JAYA: Seorang lelaki menyerang dan menetak jirannya dengan pisau pemotong sayur hanya kerana tidak berpuas hati mangsa melalui depannya ketika dia duduk di koridor.

Kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang, ibu negara pada 10 pagi semalam.

Setibanya di rumah, lelaki berusia 64 tahun itu didatangi suspek berusia 38 tahun yang bersenjatakan sebilah pisau dan terus menetaknya. Tetakan pisau itu terkena topi keledar mangsa.


Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dan menetak tangan kiri jirannya dengan pisau.

Katanya, punca pergaduhan itu disebabkan isu laluan koridor depan rumah.

“Suspek tidak suka mangsa lalu di depannya, ketika suspek duduk di koridor hadapan rumah jirannya itu,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa yang luka di lengan kiri dan sakit di semua badan dirawat di Hospital Ampang dan suspek yang bekerja sebagai kontraktor di Kampung Baru Ampang ditahan pada 5.45 petang.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


“Suspek akan ditahan reman di Mahkamah Ampang hari ini,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan isu kejiranan secara berhemah, bertimbang rasa, bertolak ansur serta saling hormat-menghormati. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram