Lelaki hina Islam di Kelantan ditahan



PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki di Kelantan selepas didakwa memuat naik video menghina Islam dan Nabi Muhammad di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek berusia 35 tahun ditahan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata, sebelum penahanan suspek, polis menerima laporan pada 9.15 pagi berhubung seorang individu didakwa menghina Islam melalui satu klip video.

“Susulan laporan diterima itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menyerbu rumah di Machang,” katanya menurut Harian Metro.


Katanya, soal siasat mendapati suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995,” katanya.

Zaki berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok.

Terdahulu, video berdurasi empat minit 14 saat menunjukkan seorang lelaki menghina Islam dan dan Nabi Muhammad tular di media sosial. – FMT





Please subscribe





Join our Telegram Channel
Telegram