PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan penduduk selepas memecah masuk sebuah rumah untuk menyamun sebelum mencabul dan cuba merogol dua wanita di Setapak.
Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 6.30 pagi semalam.
Katanya, bertindak atas tangkapan awam itu, polis memberkas suspek berusia 27 tahun.
“Siasatan awal mendapati, suspek memasuki rumah dihuni dua mangsa ketika sedang tidur dan bertindak mengacukan senjata tajam ke arah mangsa, sebelum meminta menyerahkan barangan berharga.
“Suspek turut mengikat tangan, kaki dan mulut kedua-dua mangsa dan mencabul serta cuba merogol seorang daripadanya, namun cubaan rogol itu tidak berjaya,” katanya menurut Harian Metro.
Ashari berkata, suspek melarikan diri bersama barangan berharga milik mangsa melalui tingkap tandas sebelum ditahan penduduk.
Katanya, semua mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah amphetamine, methamphetamine dan THC,” katanya.
Join our Telegram Channel