Majlis Pemulihan Negeri perlu segera dibentuk bagi melancarkan usaha
memulihkan ekonomi bersepadu melibatkan kerjasama kerajaan pusat dan negeri,
kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata cadangan penubuhan majlis itu telah diusulkan kepada
kerajaan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata majlis pemulihan itu sebaik-baiknya diketuai menteri besar
atau pengerusi jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi di
peringkat negeri masing-masing kerana soal pentadbiran dan perniagaan ada
kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sewajarnya kerajaan negeri juga harus bertindak mengambil langkah-langah yang
diperlukan untuk menyelesaikan pelbagai isu malahan beri bantuan dan sokongan
kepada mereka yang terkesan seperti peniaga terutama usahawan kecil
bumiputera," katanya.
Dia berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan
Kerajaan (NGO) Kelantan di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata aspek sedemikian jika tidak diberi tumpuan
segera akan memberikan kesan besar antaranya pertambahan kadar kemiskinan.
Berikutan pandemik Covid-19, semakin ramai golongan T20 sudah berubah menjadi
M40 dan begitu juga M40 dan B40 yang berubah status ekonomi mereka.
"Jelas terbukti bilangan yang sudah jatuh miskin sangat ramai. Sebahagian
besar kategori itu orang Islam termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak," kata
Muhyiddin. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel