Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin menegaskan isu
prestasi majlis itu terserah kepada rakyat untuk menilai sebaliknya bukan
orang politik.
Menurutnya, ia kerana kenyataan orang politik kadang-kadang mempunyai muslihat
politik.
"Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang apabila orang
politik buat kenyataan itu ada muslihat politik. Saya tak nak kata apa-apa,
itu terserah rakyat.
“Saya berada di sini (dalam MPN) untuk membantu negara bukan sahaja bantu
kerajaan, saya ambil pendirian apa keputusan yang kita nak usulkan kerajaan
kena mengikut dasar kerajaan sedia ada.
"Kalau ada perkara baru yang nak disegerakan contohnya waktu kita nak buat
keputusan untuk buka sempadan negara, jadi apa yang diputuskan oleh MPN
sempadan dibuka awal Januari tapi nampaknya kerajaan menangguhkan baru bulan
April dibuka.
"Tetapi usul sudah datang daripada kita, kenapa kita minta disegerakan kerana
selagi kita tutup sempadan bermakna ekonomi kita tidak akan berkembang cepat
pelancong pun tidak masuk ke negara kita, kita rugi wang yang cukup besar,"
katanya pada sidang media selepas pelancaran Perikatan Nasional Kelantan di
Tanah Merah, hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden
Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak MPN dibubarkan.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata untuk menyatakan MPN berkesan atau tidak
badan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, kementerian atau agensi.
Tegasnya, tugas MPN adalah sebagai badan penasihat kerajaan persekutuan.
"Kami badan yang memberi nasihat, jadi nak kata gagal atau tak gagal kalau
kerajaan fikir cadangan kita baik dia akan buat.
"Tetapi saya faham bahawa proses pemulihan tak mudah, Zahid sebagai presiden
Umno boleh katalah, macam gagal dan sebagainya.
"Macam dulu dia kata kerajaan gagal, hakikatnya kerajaan tidak gagal, rakyat
boleh menilai," jelasnya.
Tambah Anggota Parlimen Pagoh itu, apa yang penting bukan orang politik yang
mengkritik, tetapi biar rakyat yang menilai.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel