ROS lulus permohonan pemilihan UMNO lepas #PRU15



Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan permohonan Umno untuk meminda perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan sehingga selepas PRU ke-15.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, perkara itu dimaklumkan ROS melalui sepucuk surat kepadanya hari ini.

"Sukacita dimaklumkan ROS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan Umno.

“ROS juga meminta satu pemilihan diadakan dalam satu penggal pilihan raya umum parlimen (Dewan Rakyat).


“Ini bermakna pemilihan Umno untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU ke-15 diadakan,” katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei lepas.

Pada 17 Julai lalu, Ahmad dilaporkan berkata pihaknya memberi masa "seminggu atau dua minggu” kepada ROS untuk meneliti dokumen tambahan yang diberikan bagi melancarkan permohonan berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada ROS atas kelulusan tersebut.

Barisan kepimpinan Umno kini sudah pun dalam "masa tambahan". Mereka dipilih pada Jun 2018 bagi penggal selama tiga tahun.


Sebelum penggal itu tamat tahun lalu, parti itu menggunakan Fasal 10.16 perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan, yang akan tamat pada 29 Disember tahun ini.

Hanya Umno, MCA dan Gerakan yang memiliki peraturan membolehkan mereka melangkaui tempoh penggal lazim selama "tiga tahun tambah 18 bulan".

Pemerhati memberitahu Malaysiakini keputusan ROS berkemungkinan mengukuhkan lagi kedudukan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dalam meberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar mengadakan PRU.

Dengan menangguhkan pemilihan parti, kuasa Zahid untuk memilih calon bagi PRU kini sudah terjamin.

Pemerhati menjangka Zahid untuk meletakkan kalangan yang setia padanya sebagai calon. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram