Tampar adik, jirus teh pada nenek, hanya kerana dijeling



PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memukul adik dan nenek kandung, dalam kejadian di Kampung Tasik Tambahan, Ampang.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan, pada 29 Jun 8.26 malam dan direman empat hari hingga 3 Julai.


Katanya, dalam kejadian berlaku pada 28 Jun, pengadu yang juga adik perempuan suspek berusia 23 tahun membuat laporan polis memaklumkan abangnya pulang ke rumah dalam keadaan marah, kemudian bertindak membaling dua baldi ke arah mangsa dalam kejadian, pada 9.30 malam itu.

Katanya, suspek juga telah menampar dan menjirus air teh suam pada seluruh badan nenek pengadu berusia 64 tahun.

“Pengadu mengalami kecederaan tisu bahu. Manakala, nenek pengadu yang berumur 64 tahun cedera di pipi. Kedua-kedua mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya.


Katanya, punca kejadian berlaku apabila pengadu menjeling ke arah suspek semasa pulang rumah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua- duanya sekali,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram