Wanita disyaki bunuh suami positif dadah



JOHOR BAHRU: Wanita yang ditahan selepas dipercayai memukul suaminya hingga mati di Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi, didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata hasil ujian saringan ke atas wanita berusia 36 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Wanita itu juga mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan satu kes berkaitan jenayah (mendatangkan cedera).


"Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai wanita itu berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Raub turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182 323 atau pegawai penyiasat ASP Kong Hock Peng di 019-7308 888.

Dalam kejadian 7.50 pagi tadi, mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

Lebih sejam kemudian, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai isteri kepada mangsa berhampiran kawasan kejadian. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram