Amar Singh nafi dakwaan bawa girl friend serbu rumah Najib, bawa lari beg Rosmah



PETALING JAYA: Bekas pegawai polis berpangkat tinggi, Amar Singh menafikan dakwaan teman wanitanya hadir dalam serbuan di rumah Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil sebuah beg yang dirampas polis.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin, susulan dakwaan penulis blog kontroversi itu yang dikenali sebagai RPK di portalnya, Malaysia Today.

Menyifatkan rampasan di rumah bekas perdana menteri itu sebagai “serbuan terbesar dalam sejarah polis”, Amar berkata, rekod terperinci dibuat berhubung barang yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan.

Beliau dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).


Katanya, beliau sengaja menubuhkan pasukan serbuan itu yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak.

“Tidak mungkin ada apa-apa boleh melalui pasukan ini tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk menutup sebarang konspirasi.

“Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

“Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan.”

Amar berkata, bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu.


“Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali.”

Katanya, beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu.

Amar turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya “masih berada di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga saya mati.”

Amar mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM116.7 juta ditemui dalam 35 beg yang diambil dari premis itu.

Bekas pegawai polis tinggi itu mengetuai siasatan berhubung 1MDB. – FMT



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram