“Berambuslah setan. Eh, recordlah bodoh!” – Tular kakitangan Imigresen ‘halau’ orang awam



SHAH ALAM: Seorang bapa membuat laporan polis di Balai Polis Sri Muda selepas tidak berpuas hati diherdik pegawai Jabatan Imigresen ketika bersama anaknya membuat permohonan pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di sini pada Rabu minggu lalu.

Menerusi salinan laporan polis serta potongan video yang tular dalam media sosial, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak berpuas hati diberi layanan demikian apabila sudah menunggu sehingga empat jam sejak pukul 4.30 petang untuk dipanggil.

Menurut laporan itu lagi, sebelum ke UTC Anggerik Mall, dia pergi ke pejabat Imigresen di Kuala Selangor kerana berdekatan dengan rumahnya di Puncak Alam, namun tidak dapat meneruskan permohonan selepas dimaklumkan kaunter di sana mengalami masalah sistem.

“Kira-kira pukul 6.30 petang, pegawai bertugas memberikan angka giliran kepada saya dan anak masing-masing 1201 dan 1202. Apabila giliran anak selesai, sampai giliran saya dipanggil pegawai di kaunter 5 memaklumkan sistem JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tidak berfungsi dan akan memanggil semula pada pukul 8.00 malam.


“Sehingga lebih 8.30 malam, saya dapati nombor giliran saya tidak dipanggil sedangkan nombor terkini pada waktu itu adalah 1211. Disebabkan itu, saya terus pergi ke kaunter untuk berjumpa dengan penyelia lelaki untuk bertanyakan hal tersebut, tetapi beliau mempertikaikan kenapa saya tidak pergi ke kaunter,” katanya.

Jelasnya lagi, kemudian dia tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai terbabit menyebabkannya beremosi dan menendang tiang besi selepas mendakwa dirinya dipermain dan diperbodohkan.

“Selepas itu, tiba-tiba pegawai perempuan yang berada di belakang kaunter 5 terus menjerit, menghentak meja, memaki hamun saya dan halau dengan amaran tidak membenarkan saya dan keluarga berurusan di sana pada masa akan datang. Untuk makluman, saya mempunyai rakaman kejadian tersebut,” ujarnya.

Malah, tambahnya lagi dia tidak berpuas hati sejak awal-awal tiba di UTC Anggerik Mall apabila dimaklumkan hanya 200 nombor giliran sahaja diberikan dalam masa sehari tetapi pegawai bertugas tidak meletakkan notis pemberitahuan.

Dalam rakaman video berdurasi 26 saat yang tular itu pula kelihatan berlaku pertengkaran antara lelaki itu dengan pegawai di kaunter berkenaan.


“Kau kurang ajar dengan aku, kau play game dengan aku, no problem. Aku dah record everything,” kata lelaki itu.

“Hoi, siapa salah? Tak ada adab. Berambus. Berambuslah setan. Eh, recordlah bodoh!,” demikian herdikan pegawai berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dalam satu makluman kepada pemberita memaklumkan semakan mendapati pengadu membuat laporan untuk perlindungan dan rujukan kepada Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri.

“Siasatan dapati tiada unsur jenayah berlaku, pengadu buat laporan (kerana) lebih tidak puas hati kepada layanan yang diberikan oleh petugas kaunter. Kes dirujuk kepada Imigresen Selangor untuk siasatan dalaman mereka,” jelasnya. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:



Please subscribe

 

Join our Telegram Channel
Telegram