Jangan suka-suka guna nama PN tanpa persetujuan, YDP PAS Jasin sound Muhyiddin kerjasama dengan PH



MELAKA: Kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kerjasama di antara Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH) menimbulkan rasa ‘terkilan’ dalam kalangan akar umbi Pas.

Bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, kepemimpinan tertinggi parti perlu bertegas menolak cadangan berkenaan jika tidak mahu melihat Pas dilabel sebagai ‘pak turut’ semata-mata.

Tegasnya, kata-kata yang keluar dari mulut Pengerusi PN itu dilihat bertentangan dengan aspirasi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak rundingan dengan PH dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin menegaskan, ahli-ahli parti akan kekal berpegang dengan pendirian dipegang Abdul Hadi kerana ia merupakan suara akar umbi sebenar.

“Saya harap Pas terus bertegas dalam isu ini supaya tidak dilihat sebagai ‘pak turut’ untuk agenda pihak tertentu. 

“Kenyataan saya ini turut disokong Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah serta Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka.

“Kami mengingatkan Muhyiddin agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan atas nama PN tanpa persetujuan daripada rakan komponen yang lain terutamanya Pas, lebih-lebih lagi yang membabitkan perkara dasar dan strategik besar. 


“Sedangkan Presiden Pas menegaskan pendirian untuk menolak sebarang rundingan dan kerjasama dengan PH di atas pengalaman sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan, idea kerjasama PN dengan pembangkang disuarakan kerana mahu menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau menyuarakan cadangan itu kerana berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram