Tiada pakatan, PH ancaman kepada umat Islam, bumiputera – AJK PAS



SUDAH MUKTAMAD TIADA SEBARANG KERJASAMA DENGAN PH

1. Sehari dua ini timbul lagi desas-desus PN berhasrat mengadakan kerjasama dalam bentuk pakatan pilihanraya (electoral pact) dengan PH.

Pakatan pilihanraya tersebut ialah kerjasama dalam bentuk membahagikan kerusi antara PN dan PH agar tidak bertembung kerusi, dengan tujuan untuk memastikan BN kalah.

Sebelum ini, kerjasama seperti ini dinamakan sebagai Khemah Besar.


2. Saya ingin menegaskan bahawa saya akan menentang habis-habisan usaha mahu berkerjasama dengan PH ini sama ada dalam bentuk pakatan pilihanraya apatah lagi dalam bentuk gabungan politik (political coalition).

Penentangan ini adalah selari dengan keputusan yang telah dibuat secara bersama oleh Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Mei 2022 yang lalu.

3. PH adalah merupakan ancaman kepada umat Islam dan bumiputera di negara ini sebagaimana yang telah terbukti semasa 22 bulan mereka memerintah.

Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, semasa Perlancaran PN peringkat Negeri Terengganu sebelum ini, PH berhasrat merungkaikan tonggak Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab itu bekerjasama dengan PH adalah sesuatu yang mustahil bagi PAS.


4. Matlamat mahu mencari kemenangan semata-mata sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan PAS yang mahu mendaulatkan Islam, adalah kaedah Politik Machiavelli yang sama sekali tidak dapat diterima oleh pendukung dan penyokong PAS.

Saya ingin memperingatkan pimpinan-pimpinan PN, jangan ada sama sekali hasrat untuk membuka pintu kerjasama dengan PH yang natijahnya akan menyebabkan solidariti PN boleh tergugat.

5. Sebagaimana yang telah berulang-kali ditegaskan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS, PAS akan terus berusaha untuk menyatukan ummah meskipun masih terdapat pergeseran tajam antara parti-parti yang dianggotai oleh masyarakat Islam.

Oleh sebab itu, kerjasama dengan PH sama sekali tidak termasuk di dalam Agenda Penyatuan Ummah dan sebarang usaha ke arah itu adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam di negara ini.

– Mohd Zuhdi Marsuki



Join our Telegram Channel
Telegram