Penganjur Kedah Fashion Week akui tetamu program tayang dada, kesal tak patuhi kod etika pemakaian



Aman Central hari ini menyuarakan rasa kesal susulan penyebaran gambar yang memaparkan seorang individu berpakaian seksi yang hadir ke program Kedah Fashion week 2022 (KFW22).

Menurut kenyataan pusat membeli-belah itu, individu itu adalah tetamu dan tidak mencerminkan kod etika pemakaian yang ditetapkan pihak penganjur.

"Pihak kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis Aman Central dipantau lebih ketat selepas ini," kata kenyataan itu.

Terdahulu tular di media sosial gambar memaparkan wanita berjaket hijau dengan memperlihatkan sebahagian dadanya.


Acara itu dikatakan berlangsung tiga hari dari 5 hingga 8 Ogos di Aman Central, Alor Setar.

Kerajaan negeri berkata pihaknya akan meminta penjelasan dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap penganjur acara KFW22.

“Setakat semakan yang dibuat, pihak penganjur didapati tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan,” kata exco kerajaan tempatan Mohd Hayati Othman.

Sementara itu Aman Central menegaskan pihaknya telah mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan daripada pihak berwajib sebelum acara itu berlangsung dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan terutama oleh pereka fesyen tempatan.


"Pihak kami selaku penganjur menegaskan acara ini dibuat secara tahunan di Aman Sentral dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak lain.

"Acara ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central di samping menampilkan pereka-pereka tempatan untuk mempromosi Aman Central. Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

"Pihak kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang kejadian yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak," kata Aman Central. – Mkini

















Join our Telegram Channel
Telegram