Permohonan tangguh ditolak, rayuan akhir kes SRC Najib bersambung minggu depan



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran rayuan akhir kes Najib Razak berhubung dana SRC International, seperti dijadual, minggu depan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mengulangi tiada penangguhan berhubung kes berkenaan.

“Kita akan meneruskan seperti dijadual dan anda (peguam Hisyam Teh) kekal sebagai peguam,” katanya selepas Hisyam memohon penangguhan pendengaran pada Selasa dan Rabu depan (21 dan 22 Ogos).


Permohonan itu dibuat di tengah-tengah pendengaran ketika Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berhujah bagi pihak pendakwaan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan selama 10 hari – 15 hingga 26 Ogos – bagi mendengar rayuan akhir Najib.

Awal minggu ini, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan untuk “tiga hingga empat bulan” bagi membolehkan pihak tersebut mempunyai lebih masa membuat persediaan.

Hisyam mengambil alih kes itu bulan lalu daripada bekas peguam bela Najib, Shafee Abdullah. Firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners juga dilantik sebagai peguamcara Najib menggantikan Shafee & Co.


Semalam, Hisyam cuba menarik diri daripada terus mewakili Najib atas alasan beliau tidak bersedia bagi mewakili kes besar kerana kesuntukan masa untuk membuat persediaan, tetapi juga ditolak.

Terdahulu, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib telah membebaskan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners daripada mewakilinya dalam rayuannya.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta. Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram