SHAH ALAM - Pengeluar produk roti Gardenia di Semenanjung Malaysia, Gardenia
Bakeries (KL) Sdn Bhd mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 September
ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bekeries (KL), Koh Chin Huat berkata, ia
susulan pengemaskinian harga terhadap 53 jenis produknya.
"Kami telah sedaya upaya mengekalkan harga jualan sebelum ini, tetapi
disebabkan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang
meningkat secara berterusan, menyebabkan perubahan harga perlu dilaksanakan.
"Kami akan sentiasa komited untuk mengekalkan kualiti produk di tahap yang
optimum untuk kepuasan semua pelanggan dan pengguna kami," katanya menerusi
satu surat.
Perubahan itu antaranya membabitkan harga roti Gardenia Original Classic yang
naik 20 sen kepada RM3, manakala harga Gardenia Original Classic Jumbo adalah
RM4.30, naik 30 sen.
Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual pada harga RM4 sementara
roti Bran & WheatGerm berharga RM3.50.
Roti krim QuickBites naik 10 sen menjadi RM1.10 dan roti sambal bilis
meningkat 20 sen menjadi RM1.50.
Surat mengenai perubahan harga produk roti Gardenia yang dihantar kepada
peruncit itu juga tular di media sosial dan turut dikongsi pengguna Twitter
yang menggunakan nama @KlutzyKucing.
"Ingatkan 1 September 2022 jumlah jam bekerja dah jadi 45 jam seminggu rupanya
1 September harga roti Gardenia naik," ciapnya.
Join our Telegram Channel