Tiada keperluan lantik TPM buat masa ini, kata menteri Bersatu selepas nama Azmin naik sebagai calon tunggal



PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk melantik timbalan perdana menteri buat masa ini, kata Menteri Tugas-tugas Khas Abdul Latiff Ahmad.

“Buat masa ini jumlah anggota pentadbiran adalah yang terbaik berdasarkan keperluan, cabaran dan tanggungjawab serta kepakaran yang diperlukan,” kata menteri Bersatu itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Khairil Nizam Khirudin daripada PAS, yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung pelantikan timbalan perdana menteri yang menjadi polemik ketika ini.


Latiff turut berkata, pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri adalah hak prerogatif perdana menteri bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Sejak sebulan lalu, beberapa pemimpin Bersatu mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menunaikan janjinya bagi pelantikan timbalan perdana menteri daripada parti itu.

Ini susulan sokongan Bersatu terhadap pelantikan Ismail sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu.

Ismail sepatutnya bertemu Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berhubung perjanjian itu pada Khamis, namun ia dibatalkan pada saat akhir. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram