Bekas pengarah AADK Melaka didenda RM3,000, terima rasuah RM400



Melaka: Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Mohamad Yusof Kameh, 55, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas kesalahan menerima wang tunai RM400 daripada seorang kontraktor, empat tahun lalu. 

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan kedua pada sebutan kes itu, hari ini.

Dalam penghakimannya, Elesabet yang menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika ingkar membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.


Mengikut pertuduhan pilihan itu, Mohamad Yusof sebagai penjawat awam iaitu Pengarah AADK Melaka (ketika kejadian) didapati menerima untuk diri sendiri wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat dengan mengetahui ia ada kena mengena dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat AADK Negeri Melaka, Blok Pentadbiran, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh pada 22 Jun 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, tertuduh pada 18 Februari lalu, didakwa atas empat pertuduhan utama mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu menerima suapan bernilai keseluruhan RM5,900 daripada seorang kontraktor bagi tender penyelenggaraan dan perbekalan antara 2017 hingga 2019.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang kini Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang juga didakwa atas empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM5,900 daripada individu sama, tanpa balasan.


Berikutan tertuduh mengaku pertuduhan pilihan kedua, Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Syakila Yaacob memohon kepada mahkamah supaya baki tujuh pertuduhan untuk "take into consideration (TIC)" mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan oleh Elesabet.

Terdahulu, dalam hujahnya Nur Syakila memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor kesalahan serius dan kepentingan awam.

Peguam Datuk Naran Singh bagaimanapun merayu tertuduh tidak dipenjara dan hanya dikenakan denda yang rendah.

Katanya, tertuduh menyesal dan insaf kerana kesalahan itu mencemarkan namanya yang berkhidmat cemerlang dalam AADK selama 30 tahun dan kini merancang untuk bersara awal. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram