PAS arah pimpinan, ahli jangan dengar cakap Muhyiddin jadikan BN musuh utama



KENYATAAN MEDIA

PAS AKUR NASIHAT MURSYIDUL AM

Seluruh Pimpinan dan Ahli PAS dipinta supaya akur serta memberikan wala’ kepada arahan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin, agar semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara tercinta ini menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.

PAS sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang bermaksud:


“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.

Sehubungan dengan itu PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam Kerajaan yang dipimpin bersama.


PAS sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.

"MALAYSIA SEJAHTERA”

Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 26 September 2022



 



ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram