Pelajar madrasah dakwa didera ala ‘militan’



KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pemuda untuk menimba ilmu agama di sebuah madrasah sambil mendapatkan rawatan bertukar mimpi ngeri apabila cara pemulihan yang dilakukan lebih berbentuk penderaan dan zalim.

Madrasah yang terletak di Shah Alam itu agak dikenali sebagai pusat pemulihan cara Islam bagi golongan yang ada masalah ketagihan, gangguan dan lain-lain.

Pelajar madrasah yang enggan namanya didedahkan tampil mendedahkan kepada MEDIA VARIASI mengenai pengalamannya didera ala ‘militan’ dan diperlakukan seperti binatang di madrasah berkenaan sejak April lalu.

Lelaki berusi 20 tahun itu menceritakan bagaimana dia dikurung dalam bilik gelap ala penjara, dimasukkan ke dalam lubang bawah tanah seperti kubur, dipukul guna spanar, batang paip dan penyapu.



“Saya diberi minum air tembakau, jari kaki dan tangan disepit guna besi, ditumbuk bawah rahang, dipaksa buang air besar dalam plastik.”

“Kami disuruh mandi dalam parit yang penuh dengan lintah dan busuk, dipaksa makan beberapa biji cili padi yang amat pedas dan garam yang banyak dan dipaksa berlari berkaki ayam atas tanah yang berbatu sehingga tumit kaki pecah.

“Saya diarah berjalan dalam kawasan madrasah pada jam 4 hingga 5 pagi, waktu tidur hanya sejam hingga dua jam sahaja sehari, berzikir dari selepas Isyak hingga jam 3 pagi.

“Pengalaman yang amat dahsyat ibarat mimpi ngeri saya lalui, tak boleh lupa bagaimana darah memancut keluar dari hidung saya selepas ditumbuk dan kepala dipijak dihentak di atas lantai.”

“Penderaan sedemikian di madrasah itu dilihat seolah normal, penghuni lain hanya menyaksikan apa yang mereka lakukan ke atas saya tanpa membantu menyelamatkan saya,” katanya eksklusif di MEDIA VARIASI selepaa membuat aduan ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia.



Pelajar itu pada awalnya dihantar ibunya ke madrasah berkenaan pada 6 April lalu bagi mendapatkan rawatan cara Islam mengatasi gangguan dialami sejak beberapa bulan sebelum itu.

Madrasah itu dimiliki seorang ustaz dan dibantu beberapa warden dengan lebih kurang 150 penghuni dari usia remaja hingga 40 tahun.

Tambah pelajar itu lagi, syarat yang ketat dikenakan madrasah menyukarkan ibunya untuk datang melawatnya.

Dalam pada itu, ibunya Zuraina memberitahu, keluarga tidak dibenarkan melawat anak dalam tempoh empat bulan pertama.

“Namun pada satu hari, adik saya ada menyalurkan sumbangan kepada madrasah dan cuba melawat anak saya namun keadaan untuk berkomunikasi agak sukar kerana anak sentiasa dikelilingi beberapa warden.



“Kami tidak mengesyaki apa-apa sehingga pada hari jadi anak saya 3 Julai lalu, saya ada menghantar kek dan makanan untuk 150 penghuni madrasah ketika itu.

“Saya meminta AJK madrasah untuk ambil gambar anak, saya amat terkejut melihat keadaan anak yang amat kurus susut badan dan hitam rentung, seperti kena jemur tengah panas terik.”

“Berat badannya susut hampir 30 kilogram hanya dalam empat bulan di madrasah itu,” katanya.

Namun pelajar itu dipercayai amat takut dipukul ustaz menyebabkan ketika polis datang bertanyakan khabarnya dia tidak menceritakan kejadian sebenar.

Bagaimanapun pada hari yang sama, ibu dan keluarganya datang menyelamatkan dirinya.

Empat laporan polis dibuat termasuk untuk datang menyelamatkannya dan setelah mengetahui penderaan yang dialaminya.



Kesan penderaan masih dapat dilihat pada anggota tubuhnya termasuk di jari, tumit kakinya dan di atas keningnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan laporan diterima dan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Siasatan sedang dijalankan dan keputusan akan dimaklumkan selepas rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI. – Mediavariasi



Please subscribe


Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram