Pembayaran Fasa 3, rayuan BKM bermula Selasa depan



PUTRAJAYA- Kerajaan akan membuat pembayaran Fasa 3 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara berperingkat bermula Selasa depan kepada 8.7 juta penerima dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu juga akan dikreditkan kepada pemohon yang membuat rayuan BKM dan prosesnya dijangka selesai pada 27 September 2022.

“Pembayaran Fasa 3 dan rayuan BKM akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September 2022 secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September 2022.


“Pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang selain individu bujang dan mereka yang telah lulus rayuan BKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Perdana Menteri berkata, bagi BKM Fasa 3 itu, setiap penerima sedia ada bakal menerima bantuan sehingga RM900.

“Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan pada Jun yang lepas.

“Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran ditetapkan,”’ujarnya.


Ismail Sabri menambah, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM2.1 bilion untuk disalurkan kepada penerima BKM layak yang akan dibuat menerusi Fasa 4 pada Disember 2022.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan cabaran kenaikan inflasi dan juga krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” jelasnya. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram