PETALING JAYA: Seorang bekas siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kecewa belum ada tindakan undang-undang diambil terhadap pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya, termasuk bertanyakan pelbagai soalan lucah atas alasan menjalankan kaji selidik.
Farah Azuin Razak, 23, membuat laporan di Balai Polis Tangkak lebih setahun lalu, di mana beliau turut menyerahkan bukti rakaman perbualan telefon dengan pensyarah itu. Bagaimanapun, Farah masih belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa mahupun pentadbiran UiTM di kampus induknya di Shah Alam.
Carian FMT mendapati pensyarah berkenaan masih disenaraikan sebagai tenaga pengajar di salah sebuah kampus cawangan UiTM.
Farah berkata, susulan tiada tindakan diambil pihak berkuasa sekian lama, pensyarah berkenaan menghantar notis mahu mengambil tindakan saman malu terhadapnya pada 6 Sept lalu.
Farah menganggap tindakan itu diambil untuk “menakutkan” beliau setelah menolak tawaran RM20,000 daripada pensyarah itu kepada beliau sekeluarga bagi “menutup” kes itu.
“Dia saman saya atas tuduhan saya dedahkan tempat kerja dia, kehidupan peribadi dia. Itu semua bukan saya yang buat. Itu dari pihak ketiga, ‘netizen’ yang cari nama dia, gambar dia, tempat kerja dia. Saya tak mengiya dan tak menidakkan,” kata lulusan diploma pengurusan dan perniagaan itu.
Dalam wawancara dengan FMT, Farah mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual semasa menuntut di UiTM Segamat, Johor, ketika mengambil kelas dalam talian yang dikendalikan pensyarah itu.
Menceritakan pengalamannya, Farah mendakwa pensyarah itu memintanya menjawab pelbagai soalan kaji selidik berunsur lucah, diselang seli dengan percakapan yang tidak senonoh.
“Dia juga tanya saya, tahu tak alat mainan seks?” katanya.
Farah berkongsi pengalamannya dengan beberapa rakan sekelas dan mereka sepakat merakam perbualan telefon antara Farah dan pensyarah berkenaan.
“Rasa nak muntah sebab masa dia buat (tanya soalan kaji selidik). Saya bertahan sebab nak bukti. Kalau saya seorang-seorang, saya tak buat benda (layan panggilan) itu.
“Esoknya (saya) terus pergi membuat laporan polis dengan abang saya. Rakan sekelas dan ada ‘senior’ pun pergi balai sebagai saksi. Ada empat orang jadi saksi,” katanya.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Tangkak pada 2 Jun 2021, namun Farah masih menunggu keadilan.
“Kenapa (ambil masa) lama saya pun tak tahu. Nak kata tak cukup bukti, semua bukti kita dah bagi, malah polis pun ambil keterangan pensyarah saya, tapi masih juga (makan masa) satu tahun,” katanya yang melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan baru-baru ini.
Tangkap layar soalan-soalan ‘kaji selidik’ lucah yang didakwa diterima Farah Azuin Abdul Razak daripada pensyarahnya. |
“UiTM Segamat pun sudah bagi kerjasama, (dan) terus memberhentikan pensyarah itu dari mengajar (dalam talian) di UiTM Segamat. Sekarang tunggu arahan selanjutnya dari Unit Integriti UiTM Shah Alam. Tetapi, UiTM Shah Alam senyap sahaja, tak ada keluarkan apa-apa kenyataan,” kata Farah.
Selepas pengalaman Farah tular di media sosial, beberapa pelajar lain turut menghubungi beliau, mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pensyarah sama.
Farah berkata, beberapa hari selepas membuat laporan polis, pensyarah itu menghubunginya untuk meminta maaf dan mahu laporan itu ditarik balik, namun beliau enggan berbuat demikian.
Pensyarah terbabit kemudian menjejakinya di tempat kerja lamanya, sebelum pergi ke kampungnya di Tangkak.
“Dia datang rumah saya, minta maaf dekat ibu bapa saya, sampai melulut depan mak saya. Kami suruh balik, tapi dia tak nak. Sampai saya panggil polis. Polis datang, baru dia balik.”
Farah berkata seterusnya, pensyarah itu menghubungi ketua kampungnya untuk menawarkan RM20,000 kepada beliau sekeluarga supaya menarik balik laporan polis berkenaan, namun tawaran itu ditolak.
Pada 9 Sept lalu, polis Bukit Aman memberitahu FMT, kertas siasatan kes pensyarah itu dihantar balik ke Balai Polis Tangkak untuk “siasatan lanjut”.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel